DOHA – Pengendali Belanda, Louis Van Gaal mengakui kekalahan menerusi penentuan penalti ketika berdepan Argentina awal pagi semalam sekali gus menyaksikan mereka tersingkir daripada saingan Piala Dunia kali ini adalah suatu yang menyakitkan.
Pada perlawanan itu, Belanda terlebih dahulu ketinggalan dengan dua gol sebelum melakar kebangkitan pada 20 minit terakhir perlawanan apabila meraih jaringan menerusi Wout Weghorst untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan dan penentuan sepakan penalti.
Bagaimanapun, dua pemainnya, Virgil Van Dijk dan Steven Berghuis gagal menyempurnakan tugas masing-masing menyebabkan mereka terpaksa akur dengan kekalahan 3-4 pada penentuan sepakan berkenaan.
“Kami gagal menyempurnakan dua sepakan awal itu menyebabkan situasi menjadi sukar. Ia adalah mengenai nasib dan kami tidak bernasib baik,” kata Van Gaal.
Ketua jurulatih berusia 71 tahun itu juga merupakan individu yang bertanggungjawab mengemudi Belanda ketika mereka tewas berdepan Argentina di separuh akhir Piala Dunia 2014.
“Ini adalah kekalahan kedua kami berdepan Argentina dengan situasi yang sama. Dua Piala Dunia dengan jurulatih yang sama.
“Kami menjalani latihan untuk sepakan penalti, jadi tidak ada apa yang perlu saya perkatakan kerana kami sudah bersedia sebenarnya. Kami bangkit dan menyamakan kedudukan, namun nasib tidak menyebelahi apabila tewas menerusi sepakan penalti,” jelasnya.
Van Gaal kembali dilantik sebagai pengendali Belanda pada Ogos 2021 dan berjaya membantu pasukan itu mengekalkan rekod 20 perlawanan tanpa kekalahan termasuk aksi awal pagi semalam apabila seri sepanjang 120 minit perlawanan.
Bagaimanapun, beliau mengakui akan melepaskan jawatan berkenaan kerana mahu menunaikan janjinya untuk berbuat demikian sebaik kempen kali ini berakhir. – AFP