NIBONG TEBAL – Status mengenai pelaksanaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan kalender akademik persekolahan juga akan diperincikan dalam sidang media khas yang dijadualkan berlangsung pada minggu depan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek walau bagaimanapun meminta supaya semua pihak bersabar sementara menantikan pengumuman terbabit.
“Seperti yang saya maklumkan, satu sidang media khas akan diadakan minggu depan yang kita akan sentuh isu yang dibangkitkan untuk perincian yang menjadi hala tuju Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Ibu bapa boleh nantikan isu (UPSR, PT3), selain perkara yang berkait rapat dengan pemegang taruh serta konsultasi.
“Saya ambil kira semua pandangan, kritikan dan harapan ibu bapa termasuk semua pemegang taruh dalam isu berkaitan pendidikan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Kenduri Rakyat anjuran Parlimen Nibong Tebal di pekarangan Masjid Daerah Seberang Perai Selatan, Jawi, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata, isu berkaitan kalendar akademik sudah dinyatakan secara rasional menerusi kenyataan KPM sebentar tadi.
“Cuma nanti saya akan perincikan mengapa ia jadi begitu kerana prosesnya agak panjang untuk diceritakan, jadi saya akan maklum juga semasa sidang media khas nanti.
“Saya mohon semua bersabar dan akan cuba selesaikan satu persatu mengikut proses,” katanya.
Khamis lalu, akhbar Kosmo! melaporkan sebahagian ibu bapa merayu KPM mengembalikan semula UPSR yang telah dimansuhkan tahun lalu kerana mereka kini resah dengan prestasi pelajaran anak-anak. – KOSMO! ONLINE