KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di pekarangan Istana Negara bagi menghadiri Istiadat Mengangkat Sumpah Timbalan Menteri hari ini.
Kenderaan jenis Proton Perdana berwarna hitam membawa Anwar memasuki pekarangan Istana Negara melalui Pintu 1 kira-kira pukul 2.38 petang.
Terdahulu, turut kelihatan tiba adalah dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof masing-masing menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) tiba pada pukul 2.24 petang dan 2.26 petang.
Turut memasuki Pintu 1 Istana Negara adalah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.
Difahamkan seramai 27 Timbalan Menteri Kerajaan Perpaduan akan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kira-kira pukul 3 petang nanti. -KOSMO! ONLINE.