fbpx

Pembinaan LCS diteruskan, saya tunggu taklimat – Mohamad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad ketika bercakap pada sidang akhbar di Puspahanas, Putrajaya hari ini. - Foto AMIR KHALID

PUTRAJAYA – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan bahawa kerajaan akan meneruskan dengan pembinaan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) memandangkan ia adalah aset penting bagi keselamatan negara.

Mohamad berkata, beliau juga akan mendapatkan taklimat berkaitan isu LCS daripada pihak berkenaan agar dapat melihat latar belakang isu berbangkit untuk bergerak ke hadapan.

“Saya akan dapatkan taklimat berkaitan isu LCS dalam masa terdekat untuk melihat latar belakang isu ini dan bergerak ke hadapan agar kita dapat pastikan kapal-kapal ini dapat dibina.

“Tiada gunanya bercakap tentang perkara lepas, tapi apa yang kita capai itu yang penting kerana ini (LCS) merupakan aset strategi bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Graduasi Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) dan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas) di sini hari ini.

Tambah Mohamad, beliau akan terus berusaha bersama kepimpinan Kementerian Pertahanan dan memohon kerajaan meneliti dengan baik perkara tersebut agar kapal-kapal berkenaan dapat dibina dalam keadaan yang terbaik.

Terdahulu, bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada 2 Oktober lalu berkata, pembinaan LCS akan disambung semula selepas semua rundingan dan setiap perjanjian dalam fasa mobilisasi dimuktamadkan pada penghujung Disember tahun ini.

Ujar beliau, selepas fasa mobilisasi itu selesai, semua pihak terlibat mempunyai tempoh 14 bulan untuk memastikan kapal siap pembinaan.

Tambahnya, garis masa tersebut mesti dipatuhi semua pemegang taruh khususnya Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNSSB) selaku syarikat pembuat.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai isu kebajikan ATM terutamanya elaun, veteran dan perumahan, Mohamad berkata perkara itu juga akan diteliti dengan baik berdasarkan kemampuan kewangan negara.

“Dalam keadaan banyak orang kata akan berdepan kemelesetan ekonomi tahun hadapan, kita akan beri keutamaan kepada mana yang ada dan kita akan susun atur sebaiknya,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI