fbpx

Ular sawa batik 20 kg menyorok dalam bonet Mercedes-Benz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua anggota APM menangkap seekor ular sawa batik di dalam bonet sebuah kereta di Kampung Pangkalan Nangka, Pengkalan Chepa dekat Kota Bharu semalam. FOTO IHSAN APM

KOTA BHARU – Seekor ular sawa batik seberat kira-kira 20 kilogram (kg) yang terkena bilah mesin rumput dijumpai bersembunyi dalam bonet sebuah kereta di berhampiran sebuah rumah di Kampung Pangkalan Nangka, Pengkalan Chepa di sini semalam.

Kejadian itu disedari oleh seorang wanita, Mazura Ramli, 45, selepas melihat seekor ular menyusur masuk ke bahagian bawah sebuah kereta jenis Mercedes-Benz 190E milik bapa saudaranya di kawasan rumah tersebut kira-kira pukul 7.15 malam.

Menurut Mazura , ketika itu, seorang penduduk kampung sedang memotong rumput menggunakan mesin di kawasan rumahnya.

“Apabila melihat bahagian ekor ular masuk ke dalam bonet melalui bawah kereta, saya terus menghubungi talian kecemasan.

“Semasa anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tiba, pihaknya menemui seekor ular sawa batik berada di bahagian enjin di dalam bonet kereta itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Mazura, berdasarkan pemerhatian, terdapat kesan luka pada badan haiwan reptilia itu dipercayai terkena bilah mesin rumput sebelum menyusur masuk ke bawah kereta.

Sementara itu, Pegawai APM Daerah Kota Bharu, Kapten Md. Fadir Md. Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 7.27 malam sebelum empat orang anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, anggota bertugas membuka bonet kereta dan menemui ular sawa batik seberat 20 kg berada di bahagian enjin.

“Haiwan itu dibawa ke pejabat APM sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI