fbpx

ADUN, ahli Bersatu Sabah umum keluar parti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAJIJI bersama kepimpinan Bersatu Sabah pada majlis mesra bersama beliau di Sabah International Convention Center (SICC), Kota Kinabalu semalam. -Foto: JKM Sabah

KOTA KINABALU – Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, hari ini, mengumumkan keluar parti.

Ketua Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas mempertimbangkan keadaan landskap politik Malaysia ketika ini terutamanya di Sabah.

Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyatakan semua bekas ahli Bersatu termasuk dirinya bakal menubuhkan sebuah parti tempatan baharu namun ketika ini akan menjadi ahli GRS.

“Melangkah ke hadapan, kami akan menubuhkan sebuah parti tempatan yang baharu, namun untuk sementara ini kami secara kolektif akan menjadi ahli GRS.

“Kami berikrar untuk memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan dan kami yakin dengan kepimpinan dan kebijaksanaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memimpin negara,” katanya dalam kenyataan media sebentar tadi.

Menerusi kenyataan sama, Hajiji menyatakan keputusan sebulat suara berkenaan adalah demi kepentingan Sabah, perpaduan dan memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat untuk terus berjuang di bawah naungan sebuah parti tempatan.

“Kami akan menggunakan Gabungan Rakyat Sabah untuk menyuarakan kepentingan Sabah dan negeri-negeri Borneo di Malaysia.

“Saya yakin keputusan ini adalah yang terbaik untuk perpaduan dan kestabilan politik di Sabah.

“Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang dilaksanakan juga adalah untuk memastikan pemulihan ekonomi Sabah dan perpaduan dalam kalangan rakyat berterusan.

“Adalah menjadi komitmen kami bersama Sarawak sebagai Blok Borneo untuk menyuarakan aspirasi rakyat dan untuk
melihat Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63 akan dilaksanakan sepenuhnya.

“Keputusan kepimpinan BERSATU Sabah untuk meninggalkan BERSATU adalah atas dasar bahawa ia tidak lagi boleh dipertahankan untuk kekal sebagai status quo.

“Hal ini kerana di peringkat Persekutuan, Bersatu adalah pembangkang manakala GRS telah berikrar menyokong Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sabah mahukan kestabilan politik dan perpaduan. Kami mahu memastikan momentum dalam pertumbuhan dan pembangunan Sabah dan untuk melihat Sabah makmur sejajar denganmandat yang diberikan kepada kami dalam pilihan raya lalu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI