KUALA LUMPUR – Skuad Harimau Malaya mendapat suntikan semangat sebelum mengharungi Piala AFF 2022 selepas merekodkan kemenangan bergaya 4-0 ke atas Kemboja pada aksi persahabatan antarabangsa sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, skuad kendalian Kim Pan-gon membariskan kesebelasan ‘berwajah baharu’ dengan pemain seperti David Rowley, Lee Tuck, Stuart Wilkin membuat penampilan sulung diketuai oleh kapten, Faisal Halim.
Pasukan kebangsaan yang menduduki ranking ke-146 dunia tidak menunggu lama untuk hasil ledakan cantik yang dilakukan oleh Faisal daripada luar kotak penalti seawal minit ke-11.
Jaringan tersebut menaikkan motivasi pasukan untuk teruskan momentum apabila menguasai sebahagian besar perlawanan dengan Kemboja dilihat agak bergelut untuk melakukan sebarang ancaman bahaya.
Gol kedua Malaysia hadir menerusi gerakan menarik yang dilakukan selepas Faisal bijak menghantar bola kepada Lee Tuck untuk meledak gol pada minit-38.
Faisal yang beraksi dengan kelab Terengganu FC (TFC) tahun ini terus mempamerkan kelas tersendiri apabila meledak gol kedua peribadinya pada masa kecederaan babak pertama untuk memastikan pasukan meraih keputusan selesa 3-0.
Bersambung pada separuh masa kedua, Pan-gon membuat rombakan dengan memasukkan pemain-pemain seperti Safawi Rasid, Nor Hakim Hassan, Aliff Izwan Yuslan dan Sergio Aguero.
Pasukan negara hampir menambah jaringan tetapi beberapa peluang keemasan yang diraih oleh Safawi tidak berjaya menepati sasaran.
Peluang terbaik Harimau Malaya hadir pada minit ke-81 tetapi rembatan yang dilakukan oleh Rowley diluar kotak penalti berjaya ditepis penjaga gol Kemboja, Hul Kimhuy.
Gol keempat Malaysia akhirnya hadir menerusi jaringan yang dilakukan oleh Wilkin pada minit ke-86 dengan keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Skuad negara akan mengharungi aksi persahabatan seterusnya menentang Maldives di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada Rabu depan sebelum mengharungi kempen Piala AFF 2022 bermula 20 Disember nanti. – KOSMO! ONLINE