fbpx

Sindiket seleweng minyak masak bersubsidi tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN penguatkuasa KPDNKSH Negeri Sembilan membuat pemeriksaan minyak masak bersubsidi 1kg dalam serbuan di sebuah premis di Zon Perindustrian Tasik Jaya di sini. FOTO : IHSAN KPDNKSH.

SEREMBAN – Kegiatan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi yang berselindung di sebalik premis minyak masak terpakai terbongkar dalam serbuan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) Negeri Sembilan di Zon Perindustrian Tasik Jaya, di sini hari ini.

Pengarah KPDNKSH Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan, pasukan penguatkuasa telah menyerbu premis tersebut pada pukul 10.15 pagi dan menjumpai 295 kotak minyak masak paket
bersubsidi satu kilogram (1kg) berada di dalam premis berkenaan.

“Premis ini disyaki melakukan pemindahan minyak masak bersubsidi ke dalam tangki dengan cara memotong minyak masak plastik polibeg.

“Kemudian mencampurkan ke dalam tangki minyak masak terpakai bagi mendapatkan kuantiti yang banyak sebelum dijual kepada syarikat lain untuk dijadikan biofuel,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Muhammad Zahir, sindiket itu dipercayai telah menjalankan kegiatan sekitar enam bulan lalu dan berselindung di sebalik premis pengumpulan minyak masak terpakai.

“Seramai empat orang suspek warganegara tempatan yang berumur antara 22 hingga 46 tahun telah ditahan bagi tujuan siasatan.

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap premis dan individu yang ditemui di lokasi kejadian mendapati tidak mempunyai sebarang lesen atau surat kebenaran dari Pengawal Bekalan bagi berurusan dengan barang kawalan,” katanya.

Muhammad Zahir berkata, dalam serbuan itu sebanyak 5,015 kg minyak masak paket bersubsidi 1kg dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM 12,537.50 telah disita bagi tujuan siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Jelas beliau, pihaknya komited membanteras aktiviti penyelewengan dan ketirisan minyak masak bersubsidi bagi memastikan bekalan minyak dapat dinikmati rakyat di Negeri Sembilan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI