fbpx

Piala Dunia: Kane intai peluang pintas rekod Rooney

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KANE hanya ketinggalan satu gol untuk menyamai rekod Rooney sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman England. – AFP

AL KHOR – Penyerang prolifik England, Harry Kane berpeluang menempa sejarah baharu sekiranya berjaya meledak gol ke atas Perancis pada aksi suku akhir Piala Dunia 2022 di Stadium Al Bayt awal pagi esok.

Kane, 29, sudah meledak 52 gol dalam 79 penampilan bersama England, cuma ketinggalan satu jaringan di belakang penja­ring terbanyak sepanjang zaman negara itu, Wayne Rooney (53 gol).

Bintang Tottenham Hotspur dijangka mam­pu melakukannya se­lepas me­ledak gol pertama­nya dalam kempen Piala Dunia kali ini ketika menewaskan Senegal 3-0 di pusingan 16 terbaik pada Ahad lalu.

“Mana-mana penyerang mahu meraih sesuatu dan sudah tentu ia adalah menjaringkan gol. Tekanan yang dirasainya sedikit reda selepas dia berjaya melakukannya,” kata pengendali England, Gareth Southgate.

Bagaimanapun, Kane dikatakan tidak terlalu mengejar rekod peribadi itu kerana misinya adalah membantu The Three Lions merakam kemenangan ke atas Perancis untuk melangkah ke pentas separuh akhir.

Suasana dalam kem England cukup baik ketika ini apabila nama-nama penting seperti Raheem Sterling dan Declan Rice bakal kembali memperkuatkan pasukan untuk perlawanan getir tersebut.

Sterling yang pulang ke England selepas rumahnya dicerobohi sekumpulan perompak bersenjata, sudah kembali bersama rakan sepasukannya di Qatar.

Rice pula dikatakan sudah pulih daripada demam yang menyebabkannya terlepas sesi latihan England kelmarin dan hampir pasti tersenarai dalam kesebelasan utama menentang Perancis.

Pemain tengah bertahan Manchester City, Kalvin Phillips bersedia memikul tanggungjawab menggantikan tempat Rice sekiranya kapten West Ham United itu gagal mencapai tahap kecergasan terbaik.

“Saya akan berikan segala-galanya untuk pasukan ini. Sama ada saya atau Dec (Rice) diturunkan, ia bukan masalah kerana kami semua mempunyai matlamat yang sama,” jelasnya.

Berdasarkan rekod, peluang England dilihat sukar kerana tewas empat kali kepada Perancis dalam lapan pertemuan termasuk kalah 2-3 dalam pertembungan terakhir lima tahun lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI