KUALA LUMPUR – Sebanyak 10 lagi kes positif Covid-19 telah direkodkan dalam kalangan kakitangan Telekom Malaysia (TM), menjadikan jumlah 13 kes positif setakat ini.
TM melalui satu kenyataan hari ini berkata, kawasan-kawasan baharu yang terjejas termasuklah Menara TM dan TM Annexe 1 di Kuala Lumpur serta nod rangkaian di Rawang, Selangor.
“Ini adalah tambahan kepada kawasan yang terjejas sebelum ini iaitu di Menara TM ONE di Damansara, Kuala Lumpur dan pejabat Kepayan di Kota Kinabalu, Sabah.
“Daripada 13 kes tersebut, pihak syarikat ingin mengumumkan bahawa terdapat tiga orang anggota yang telah discaj daripada hospital serta pusat kuarantin yang mereka masuki dan akan meneruskan pemulihan dan kuarantin di rumah selama 14 hari,” jelas kenyataan tersebut hari ini.
Sementara itu, baki 10 orang anggota kini sedang menerima rawatan.
Berikutan kes-kes positif yang baharu tersebut, pengesanan kontak rapat sedang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dibantu oleh Pasukan Tindak Balas Krisis (CRT) Covid-19 TM.
“Kontak rapat yang telah dikenal pasti sedang dihubungi oleh KKM untuk nasihat dan tindakan selanjutnya. TM mengambil langkah-langkah yang perlu termasuklah menutup segera premis-premis yang terlibat untuk tempoh tujuh hari bagi memudahkan proses nyah kuman dan sanitasi mengikut panduan yang telah ditetapkan oleh KKM.
“Kerja-kerja nyah kuman dan sanitasi di TM Annexe 1 dan nod rangkaian di Rawang telah selesai pada 14 Oktober, Menara TM ONE pada 13 Oktober, manakala kerja-kerja di Menara TM selesai pada pukul 5 petang hari ini,” katanya.
Tambah kenyataan tersebut, pejabat-pejabat TM di Sabah, Kedah dan kawasan zon merah yang lain telah ditutup lebih awal sebagai langkah berjaga-jaga berikutan peningkatan jumlah kes baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, berkuat kuasa serta-merta, TM turut mengaktifkan aturan ‘Kerja Dari Rumah’ (WFH) bagi semua Warga TM di seluruh negara sehingga 31 Oktober ini. – K! ONLINE