JAKARTA – Sepasang kekasih di Aceh melangsungkan pernikahan di sebuah penjara di wilayah itu selepas pengantin lelaki ditahan kerana terlibat dengan kes dadah, lapor portal berita Acehsatu.com semalam.
Acara akad nikah pengantin lelaki yang dikenali sebagai MA dan pasangannya, FA diadakan di Pusat Tahanan Mapolres Aceh Tamiang dan disaksikan oleh Ketua Satuan Tahanan dan Barang Bukti Polis Aceh Tamiang, Iptu Abdi, imam kampung, para saksi dan keluarga kedua-dua pengantin.
“Ini adalah atas permintaan daripada kedua-dua keluarga untuk melangsungkan pernikahan. MA meski berstatus tahanan tetapi dia juga punya hak yang sama,” kata Abdi kepada wartawan.
Proses pernikahan yang berlangsung pada Rabu lalu itu merupakan pertama kali berlaku di pejabat polis Aceh Tamiang.
Menurut Abdi, pasangan tersebut sudah lama menetapkan jadual pernikahan mereka namun pengantin lelaki ditangkap polis kerana terlibat dalam kes dadah menyebabkannya terpaksa ditahan di penjara.
Walaupun ditahan pihak berkuasa, niat pengantin perempuan berkenaan untuk mendirikan rumah tangga dengan kekasihnya itu tidak pernah terpadam sama sekali.
“Kita berikan hak-hak tahanan untuk melangsungkan pernikahan. Saya juga berpesan kepada MA agar tabah menjalani proses hukuman sesuai dengan prosedur hukum yang berlaku,” ujar Abdi. – Agensi