fbpx

Sabar, pandai ‘memujuk’ tip tewaskan ikan tebal pipi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Helmi menunjukkan ikan tebal pipi yang berjaya dipancing.

PENGALAMAN memancing selama 32 tahun yang dimiliki seorang kaki pancing diabadikan dengan mewujudkan sebuah persatuan untuk berkongsi ilmu, hobi dan aktiviti memancing terutamanya di rumah rakit di sekitar Sungai Johor.

Mesra disapa ‘otai’, Pengerusi Persatuan Kelab Merakit Johor Lama (PKMJL), Helmi Bahkiar boleh dikatakan pakar dalam ilmu menumpaskan ikan ketika memancing di atas rakit.

Malah, lelaki yang kini menginjak usia 53 tahun itu boleh berbangga apabila memiliki 32,000 pengikut di laman Facebook PKMJL sejak ia diwujudkan pada tahun 2013.

Lokasi perairan Sungai Johor yang meliputi jarak sejauh kira-kira 122 kilometer merupakan lokasi buruan pemancing untuk menewaskan ikan yang sukar diperoleh di pasaran iaitu ikan tebal pipi.

Katanya, ikan tersebut boleh dikatakan jarang berada di pasar kerana nelayan yang berjaya menaikkan ikan itu biasanya tidak akan jual sebaliknya membawa pulang ke rumah untuk dimasak sendiri.

“Kalau ada jual pun selalunya di pasar besar dekat Johor Bahru, itu pun bukan tebal pipi Sungai Johor tapi tebal pipi dari Indonesia. Harga ikan itu yang dari Sungai Johor, harga kayangan juga antara RM43 hingga RM55 sekilogram.

“Ikan jenis ini paling sedap masak asam pedas atau goreng garing cicah bersama cili dan kicap, memang memikat seleralah, makan pula dengan nasi panas serta ulam-ulaman,” katanya kepada K2 baru-baru ini.

Ikan tebal pipi atau nama saintifiknya, yellow tail trumpeter terbahagi kepada dua jenis iaitu yang berwarna kuning keemasan dan satu lagi berwarna perak pada badan, manakala sirip dan ekor berwarna kuning.

Sebahagian ahli Persatuan Kelab Merakit Johor Lama (PKMJL) berkongsi minat memancing.

Ujarnya, jenis kuning keemasan itu isinya lebih lembut dan lemak berbanding yang berwarna perak.

Tebal pipi mempunyai pipi cembung iaitu penutup insangnya membonjol atau membengkak pada tulang pipi seakan menonjol keluar.

Dalam pada itu, Helmi berkata, selain penggunaan umpan yang tepat, lokasi yang betul untuk menghendap ikan tebal pipi adalah di kawasan tubir atau beting sama ada beting pasir atau lumpur kerana lokasi tersebut terdapat sumber makanannya.

Selain itu ujarnya, spesies tersebut juga gemar ‘meronda’ di kawasan yang dasarnya mempunyai teranas, karang kecil atau karang tompok, batu kunyit, karang tiram dan karang kupang.

“Diet si tebal pipi pula adalah perumpun, ruat bakau, uni uni dan jangkau, pemancing mesti bijak untuk kenal pasti cara ikan tebal pipi memakan umpan.

“Ini yang selalu pemancing gagal untuk menaikkan spesies tebal pipi kerana ikan itu merupakan spesies yang memakan umpan secara mengutis, menyedut perlahan-lahan, mengemam berhati-hati sebelum menelan dan melarikan umpan,” katanya.

Hendak menjinakkan ikan tebal pipi dewasa bukan senang kerana lebih memilih umpan berbanding junior yang agak gelojoh menelan makanan.

Katanya, untuk menaikkan tebal pipi ini, perambut halus bawah 20 pound dengan panjang lebih sedepa digunakan agar mengurangkan sensitivitinya ketika menjamah umpan.

Dek sifat semula jadinya setelah menelan baru melarikan umpan, mata kail jenis wide gap jenama Angler saiz 8, 6 atau 4 digunakan kerana mata kail itu ‘auto lekat’ apabila ikan menelan umpan tanpa perlu disembat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI