BERMULA hari ini, jalan-jalan raya di seluruh negara akan mulai sibuk. Ruangan menunggu di lapangan terbang juga pasti dipenuhi orang. Masing-masing sibuk dengan bagasi yang berwarna warni.
Di hentian bas utama, orang ramai tidak putus-putus beratur untuk mencari tiket. Begitu juga di terminal stesen kereta api. Semua mula mengatur perjalanan sempena cuti panjang persekolahan.
Ada yang memilih untuk pulang ke kampung, tetapi ramai juga yang lebih berminat untuk keluar melancong termasuk ke luar negara.
Ironinya, bulan Disember memang dikenali sebagai bulan percutian. Pada bulan ini, hampir separuh daripada rakyat Malaysia akan mengambil peluang untuk mencipta momen indah bersama keluarga dan rakan-rakan. Masing-masing teruja selepas lebih 11 bulan bekerja keras mencari rezeki.
Bagi yang memiliki bajet besar, destinasi luar negara sudah pasti menjadi pilihan. Eropah dan negara-negara Asia seperti Thailand, Indonesia dan Korea Selatan antara yang paling ingin dikunjungi.
Namun, bagi mereka yang mempunyai bajet ‘cukup-cukup makan’, bercuti sambil pulang ke kampung mungkin pilihan yang tepat.
Paling tidak pun, ada ibu bapa yang memilih untuk membawa anak-anak mandi-manda di sungai ataupun keluar menonton wayang. Itu sudah cukup untuk merasai mood percutian. Hakikatnya, ramai antara kita terlalu obses untuk bekerja sehingga lupa untuk bercuti.
Percaya atau tidak, kajian Percutian Expedia pada 2018 terhadap 15,000 orang yang bekerja membabitkan 30 negara di seluruh dunia mendapati, 53 peratus daripada responden adalah mereka yang kurang bercuti.
- Malah, Malaysia juga merupakan negara ketiga di dunia yang paling kurang bercuti di luar negara.
Alasan yang diberikan adalah ramai pekerja di Malaysia dilaporkan terpaksa membatalkan rancangan percutian hanya kerana tugasan. Selain itu, ada juga yang telah menghabiskan kesemua cuti tahunan.
Dan faktor paling popular sudah pasti isu kewangan dan kemampuan untuk bercuti.
Atas sebab itu, perancangan untuk bercuti sangat penting. Berpada-pada dan ukurlah badan sendiri.
Jangan terlalu teruja sampai lupa diri.
Percayalah, nilai percutian itu bukan semata-mata kepada lokasinya. Ia juga bukan bergantung kepada mewahnya hotel atau sedapnya hidangan.
Percutian itu sebenarnya sebuah perjalanan untuk mencari ketenangan. Paling penting, kita mahu merehatkan minda dan mencipta kenangan baharu bersama insan tersayang.