DOHA, Qatar – Bencana puting beliung yang membawa hujan batu melanda Qatar ketika pasukan England bersiap sedia untuk perlawanan suku akhir menentang Perancis awal pagi esok, lapor portal berita MailOnline.
Puting beliung itu membadai bandar Ras Laffan yang terletak kira-kira 80 kilometer (km) dari ibu negara Qatar, Doha.
Negara Arab di Teluk Parsi yang menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022 itu menyaksikan peristiwa cuaca aneh semasa kejohanan bola sepak tersebut.
Awan gelap dilihat berkumpul berhampiran Stadium Al Khor iaitu tempat di mana kebanyakan perlawanan diadakan.
Jabatan Meteorologi Qatar memuat naik satu rakaman di Twitter memaparkan puting beliung itu sejurus selepas menyiarkan amaran tentang hujan beserta ‘guruh’ dengan kapsyen ‘sila berhati-hati’.
Satu lagi puting beliung dikesan di bandar Al Huwaylah, timur laut Qatar.
“Hujan bertaburan dan penurunan suhu dijangka berlaku dalam tempoh beberapa hari akan datang, kata Jabatan Meteorologi.
Bencana puting beliung bukanlah perkara biasa di rantau Asia Barat tetapi pernah beberapa kali dikesan di Qatar pada 2016. Ia agak lemah, namun boleh menyebabkan kerosakan yang agak ketara jika melanda kawasan perumahan.
Menurut Indeks Risiko Dunia, Qatar adalah antara negara yang paling kurang mengalami bencana alam.
Suhu pada Rabu lalu mencecah 27 darjah Celsius. Menurut Jabatan Meteorologi, suhu akan turun kepada antara 23 hingga 25 darjah Celsius dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Pada hari sama puting beliung berlaku, hujan batu dilaporkan menimpa warga Qatar dan peminat bola sepak dari luar negara. Orang ramai mengambil butir-butir ais itu dan memuat naik gambarnya di laman Twitter. – Agensi