PETALING JAYA – Kemalangan antara dua kenderaan di bulatan kecil berdekatan Plaza Tol Bandar Baru Bangi menjadi topik perdebatan antara netizen yang ingin mengetahui siapa agaknya yang perlu dipersalahkan.
Kejadian yang tidak mengakibatkan sebarang kecederaan melibatkan sebuah kereta Proton Saga dan sebuah lori itu dimuat naik menerusi akaun TikTok, @sunwalker30 semalam.
“Siapa agaknya yang bersalah dalam kemalangan seperti ini,” katanya menerusi ruangan kapsyen.
Hantaran tersebut seterusnya mencetuskan perbincangan dalam kalangan netizen di Twitter sejurus dikongsi oleh seorang pempengaruh (influencer), @AkeemSharyzal di platform media sosial berkenaan.
“Pemandu lori yang bersalah. Dia seharusnya keluar menggunakan lorong kiri tetapi dia bertindak sebaliknya. Manakala, kereta Proton itu pula sememangnya boleh keluar daripada lorong tersebut dan dia juga telah memberikan isyarat awal,” ciap seorang pengguna.
“Proton Saga itu yang bersalah sebenarnya. Bahagian dalam ‘roundabout’ tidak boleh keluar melalui lorong kiri melainkan ia selamat,” ciap netizen lain menerusi ruangan komen.
“Kedua-dua pihak tidak bersalah dan yang bersalah dalam hal ini adalah pembahagi jalan (divider) dan bulatan tersebut,” seloroh seorang lagi netizen.
Dalam pada itu, perbincangan tersebut seterusnya menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna di media sosial Twitter.
“Pening sungguh melihat video ini dan sudah banyak kali mengulang kerana pada pandangan saya, kedua-dua pihak yang bersalah,”ciap seorang pengguna.
“Jika kalian berasa lori itu yang bersalah maka rasanya anda perlu melihat video tersebut berulang kali daripada awal semula. Kemudian bandingkan dengan ilmu yang dipelajari semasa kelas memandu dahulu,” ciap pengguna lain.
Hantaran tersebut seterusnya meraih sebanyak 2,636 dan 1,870 ciapan semula setakat ini. – KOSMO! ONLINE