PETALING JAYA – Bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa secara berkias menggambarkan UMNO telah ‘terbakar’ dan ditinggalkan.
Menurutnya, beliau telah cuba menyelamatkan UMNO daripada ‘terbakar’ supaya tidak ramai melarikan diri dari UMNO, tetapi tidak berjaya.
“Malam Jumaat saya bermimpi. Rumah pusaka saya diami terbakar. Saya syak ada ‘main switch’ (suis utama) dah ‘short circuit’ atau wayarnya terputus.
“Ramai penghuni rumah sudah lari meninggalkan rumah yang terbakar atau dibakar.
“Saya sayang rumah itu. Saya cuba memadam kebakaran supaya jangan lebih ramai penghuninya lari,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau dipercayai berkata demikian kerana dipecat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat malam tadi.
Annuar seterusnya berkias, beliau ditarik keluar dari UMNO ketika api masih marak dan ramai yang terus lari meninggalkan rumah.
“Kini saya hanya mampu melihat kebakaran dari luar. Walaupun saya amat sayang rumah itu, saya hanya mampu berdoa,” katanya. – KOSMO! ONLINE