fbpx

JTK Kelantan periksa 18 buah rumah pekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota JTK Kelantan melakukan pemeriksaan dalam Operasi Bersepadu Penguatkuasaan melibatkan 18 buah rumah penginapan pekerja di empat daerah kelmarin. - Foto IHSAN JTK

Oleh ROSLIZA MOHAMED

KOTA BHARU – Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kelantan melakukan pemeriksaan terhadap 18 buah rumah pekerja yang disediakan majikan dalam Operasi Bersepadu Penguatkuasaan di empat daerah bermula kelmarin.

Operasi selama dua hari yang berakhir semalam itu melibatkan rumah pekerja di daerah Kota Bharu, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang.

Pengarah JTK Kelantan, Naziyah Said berkata, operasi itu bertujuan mempertingkatkan tahap kesedaran dan pematuhan majikan mengikut pindaan Akta 446 dan peraturan ditetapkan yang berkuat kuasa 1 September lalu.

“Operasi itu melibatkan pemeriksaan terhadap 18 buah rumah yang disediakan majikan khususnya rumah penginapan pekerja bagi mematuhi peraturan termasuk keselamatan, kebersihan dan keselesaan mereka.

“Dalam operasi itu, khidmat nasihat diberikan dan tiada sebarang notis dikeluarkan. Operasi ini antara lain bagi menguatkuasakan pematuhan terhadap akta perburuhan yang lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Naziyah, setiap majikan juga perlu mengemukakan permohonan Perakuan Penginapan Pekerja dengan kadar segera kepada JTK negeri.

Katanya, operasi penguatkuasaan itu juga diharap akan dapat meningkatkan kesedaran majikan berkaitan undang-undang perburuhan sekali gus memastikan kebajikan dan kepentingan pekerja terjamin.

Naziyah menambah, mengikut Akta 446, majikan yang menempatkan pekerja tanpa Perakuan Penginapan boleh didenda RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI