LUSAIL – Bekas pertahanan Manchester United, Paul Parker menggesa pengendali Argentina, Lionel Scaloni supaya menyenaraikan Lisandro Martinez dalam kesebelasan utama menentang Belanda awal pagi esok.
Parker percaya gandingan Martinez dan Christian Romero sebagai bek tengah akan memberikan Argentina peluang yang lebih besar untuk meraih kemenangan dalam aksi suku akhir di Stadium Lusail itu nanti.
Beliau juga tanpa berselindung mengkritik Nicolas Otamendi yang sentiasa menjadi sasaran pihak lawan dan gagal beraksi dengan baik biarpun diturunkan beraksi dalam semua perlawanan.
“Kemasukan Martinez ketika menentang Australia telah mengubah segala-galanya. Dia tak takut untuk melakukan terjahan dan memenangi bola.
“Dia perlu bergandingan dengan Romero. Saya tak percaya bagaimana Argentina lebih memilih Otamendi daripada Martinez. Otamendi hanyalah badut di atas padang.
“Otamendi sentiasa melakukan kesilapan ketika di Manchester City dan kali ini dia mengulanginya lagi buat negaranya. Argentina ada peluang kalau dia tidak diturunkan,” kata Parker.
Martinez tidak menjadi pilihan utama Scaloni yang lebih gemar menggunakan Otamendi dan Romero dalam kesebelasan utamanya pada kempen Piala Dunia 2022.
Bagaimanapun, bintang The Red Devils itu membuktikan kualitinya apabila dimasukkan pada minit ke-50 ketika menewaskan Australia 2-1 di pusingan 16 baru-baru ini.
Berdasarkan prestasi cemerlang itu, Martinez berkemungkinan besar bakal mendapat peluang memulakan aksi suku akhir menentang Belanda sebagai pemain kesebelasan utama.
Kehadirannya di bahagian belakang Argentina mampu menyekat kemaraan pemain sayap lincah Belanda, Cody Gakpo yang setakat ini sudah berjaya mengucar-ngacirkan benteng pertahanan lawan.
– AGENSI