DOHA – Pertahanan Brazil, Dani Alves mengingatkan rakan-rakan sepasukan bahawa Croatia sentiasa memiliki keupayaan untuk mencipta kejutan menjelang pertemuan pada suku akhir di Stadium Education City malam ini.
Ketika ramai yang mengharapkan perhitungan terhebat dua seteru, Brazil dan Argentina pada separuh akhir, namun Alves kekal dengan sikap realistik kerana sedar naib juara edisi lalu ini memiliki pemain berkualiti dan perlu berwaspada.
Pemain berusia 39 tahun itu kekal dengan pendirian dan mengharapkan drama ‘jejak kasih’ terhadap bekas rakan sepasukannya di Barcelona, Lionel Messi dilupakan terlebih dahulu kerana perhatian penuh perlu diberikan kepada pertemuan dengan Croatia.
“Semua yang berlaku adalah kerana Messi dan saya rasa dia sekarang sedang berada pada tahap terbaik. Dia adalah salah seorang pemain yang langsung tidak boleh diragui dalam pertandingan kali ini.
“Tetapi buat masa sekarang kami tidak boleh terlalu memikirkan tentang separuh akhir kerana Brazil perlu hadapi suku akhir terlebih dahulu. Croatia memiliki pemain berkualiti dan mereka sebenarnya berhak untuk mendapat perhatian daripada kami.
“Jadi, sudah pasti kami juga begitu menghormati mereka dan tiada jalan lain kecuali perlu alihkan fokus kepada persiapan untuk hadapi Croatia di suku akhir,” katanya.
Daripada apa yang diperkatakan Alves ada benarnya kerana kesemua lapan lapan pasukan yang masih kekal pastinya memiliki kualiti tersendiri dan layak untuk diangkat sebagai juara pada edisi kali ini.
Daripada jaringan dan bolos sepanjang aksi awal, Brazil dan Croatia memiliki pencapaian hampir sama, skuad A Selecao meledak tujuh gol, manakala Croatia lima gol dan kedua-duanya bolos dua kali.
Di sebalik impak besar yang dihadirkan Neymar sejak kembali dalam pasukan, skuad kendalian Tite tidak boleh terlalu ghairah untuk menyerang sebaliknya aspek bertahan juga wajar diberi perhatian. – AGENSI