fbpx

Atika atasi cabaran kerjaya logistik didominasi lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebagai satu-satunya wanita dalam pasukannya, Atika percaya tiada isu untuk golongan wanita bekerja dalam industri logistik.

PENGLIBATAN wanita dalam menyumbang kepada tenaga kerja buruh bukanlah sesuatu yang baharu.

Di Malaysia, 55.6 peratus populasi wanita iaitu bersamaan 6.38 juta orang menyumbang kepada sektor buruh.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, selain hak asasi manusia, kesaksamaan jantina adalah penting untuk mencapai keamanan dengan potensi dan pembangunan mampan.

Tambahan pula, pemerkasaan golongan wanita boleh merangsang produktiviti dan pertumbuhan ekonomi negara.

Kajian kepelbagaian jantina di tempat kerja menunjukkan bahawa syarikat berkepelbagaian jantina mempunyai 15 peratus lebih kemungkinan untuk menjana keuntungan melebihi purata.

Ini menunjukkan bahawa industri logistik juga secara keseluruhan boleh berjaya dengan tenaga kerja yang pelbagai.

Bagaimanapun, terdapat persepsi bahawa pekerja wanita dalam industri logistik adalah sangat rendah. Pada 2017, hanya dua peratus wanita mengambil bahagian dalam industri logistik dan rantaian bekalan di seluruh dunia.

Menceburi kerjaya dalam industri logistik, Rakan Operasi Pick Up Drop Off, Ninja Van Malaysia (Ninja Van), Atika Sulaiman berkongsi dengan media pengalamannya bekerja dalam bidang tersebut.

“Terdapat tanggapan umum bahawa operasi gudang adalah terhad kepada buruh manual yang berat. Namun, apabila bekerja di gudang logistik, anda akan dapati bahawa terdapat tugas-tugas berkaitan yang sesuai dengan wanita.

“Antaranya seperti pengurusan inventori, perancangan pengambilan bungkusan dan pengasingan bungkusan,” katanya.

ATIKA berasa berbesar hati dapat menguruskan lebih 100 pemandu Ninja Van di sekitar Lembah Klang.

Atika berkata, ketika ini, peranannya adalah melibatkan bidang penyelarasan pesanan dan penghantaran kepada pemandu Ninja Van.

Pada mulanya, Atika berasa sangat mencabar kerana tidak biasa bekerja dalam industri yang mempunyai majoriti pekerja lelaki.

Jelasnya, perbezaan paling ketara adalah mengenai cara berkomunikasi antara wanita dan lelaki.

Disebabkan itu, Atika mengamalkan komunikasi secara langsung dalam kalangan rakan sekerja lelaki bagi memudahkannya bekerja di dalam industri itu.

Sebagai satu-satunya wanita dalam pasukannya, Atika percaya tiada isu untuk golongan wanita bekerja dalam industri logistik.

Malah, dia berasa selesa bekerja dalam persekitaran pantas bersama tenaga kerja yang pelbagai.

“Kami telah memasuki bulan paling sibuk pada tahun ini.

“Namun, saya gembira kerana mempunyai pasukan yang kerap memberi sokongan.

“Saya juga berbesar hati kerana diberi peluang untuk menguruskan lebih 100 pemandu Ninja Van di sekitar Lembah Klang pada waktu puncak akhir tahun.

“Walaupun ia merupakan tempoh yang sangat mencabar, namun kami kekal bersatu sebagai sebuah pasukan,” kata Atikah.

Menurutnya, Ninja Van komited berpegang kepada dasar serta kepercayaan mengenai budaya di tempat kerja tanpa diskriminasi dengan mengambil pekerja berdasarkan bakat dan etika.

Sehingga November 2022, lebih 28 peratus tenaga kerja Ninja Van terdiri daripada wanita terutamanya dalam pasukan pengurusan dan operasi.

Ini menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 13 peratus berbanding tahun lalu.

Atika memaklumkan, para pekerja sentiasa diberi peluang untuk belajar dan meneroka haluan kerjaya yang pelbagai.

Pekerja juga digalakkan untuk terus belajar dan meningkatkan kemahiran diri melalui pelbagai latihan yang dianjurkan.

“Antara latihan yang dianjurkan adalah kesinambungan perniagaan, pembinaan pasukan, program penulisan perniagaan dan kelas induk jualan,” katanya.

Industri logistik sentiasa berkembang seiring dengan tenaga kerjanya dan Ninja Van juga komited untuk terus membuat perubahan dengan memastikan peluang pekerjaan yang sama rata buat golongan wanita.

“Kepada wanita di luar sana, anda perlu mencuba sendiri kerjaya ini dan kenali industri logistik dengan lebih mendalam. Tiada garis pemisah kepada keupayaan kita sebagai seorang wanita dalam dunia pekerjaan ini,” ujar Atika.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI