PUTRAJAYA – Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini merayu bantuan Kementerian Luar bagi pembebasan tiga rakyat Malaysia yang dipenjara di Bangladesh.
Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, mangsa terlibat sebenarnya terpedaya diupah RM300 setiap seorang sebagai ‘keldai’ bagi membawa masuk emas.
“Anehnya, ramai rakyat negara lain yang buat kesalahan sama bahkan jauh lebih berat pula hanya dikenakan tempoh hukuman penjara agak ringan,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu beliau mengetuai organisasi tersebut hadir menyerahkan memorandum berhubung isu berkenaan kepada wakil pihak Kementerian Luar di Wisma Putra, di sini hari ini.
Mangsa terlibat ialah Mohd. Azwan Salihin, Johari Harun dan Hee Wool Khing dihukum penjara seumur hidup sejak 2015 tanpa diberikan peluang untuk diringankan penalti itu.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa pihak MHO kecewa dengan dwistandard Bangladesh yang amat tidak adil ke atas rakyat negara ini berbanding warganegara lain.
MHO turut akan meminta bantuan wakilnya di negara rantau Asia Selatan itu bagi cuba berunding dengan pelbagai agensi dan mempercepatkan misi pembebasan tiga mangsa.
“Kami bukan cuba mencampuri urusan perundangan Bangladesh, tetapi merayu agar diberi pertimbangan atas dasar perikemanusiaan dan hubungan baik Malaysia,” katanya.
Pada masa sama ujarnya, MHO memohon jasa baik Menteri Luar baharu, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir untuk memanfaatkan saluran diplomatik bagi usaha murni tersebut.
Dalam pada itu, ibu Mohd. Azwan, Siti Fatimah Hanafi yang turut hadir kelihatan sebak dan menitiskan air mata apabila bercakap mengenai nasib anaknya dihukum sedemikian.
“Saya mohon ihsan pihak kerajaan Malaysia agar tolonglah segera membebaskan anak saya. Dia sudah tujuh tahun menanggung perit sengsara di penjara negara sana,” rayunya.
Sementara itu, isteri Johari, Maiza Mohd. Nor, 48, yang hadir bersama enam anak mereka berkata, beliau sedih mengingatkan azab ditanggung suaminya di penjara Bangladesh.
Pasangan itu yang merupakan peniaga pasar malam di Semenyih, Selangor menambah, anak-anak terutamanya yang kembar bongsu amat merindukan bapa mereka selama ini.
Malahan ketika mula dipenjara, kedua-dua anak kecil itu baru berusia tiga tahun dan tidak sempat merasai kasih sayang bapa mereka kecuali menatap dari gambar-gambar lama. – KOSMO! ONLINE