Oleh NUR SHARIEZA ISMAIL
CYBERJAYA – Seorang peniaga pasar borong mengalami pendarahan dalam badan selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Puchong-Dengkil di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, kenderaan jenis Hyundai Getz yang dipandu mangsa, Muhammad Ikram Mohd Zamri, 19, telah terbabas dan melanggar tebing longkang lalu terbalik sebelum mangsa tercampak ke atas jalan.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, sebelum kejadian kemalangan berlaku, mangsa memandu kenderaan dari arah Puchong menghala ke Dengkil.
“Apabila sampai di Jalan Puchong-Dengkil, mangsa yang memandu kenderaan di lorong paling kanan telah terbabas ke pembahagi jalan dan melanggar tebing longkang yang berada di situ sebelum terbalik.
“Akibat kemalangan itu, mangsa telah tercampak ke atas jalan di lorong kanan arah bertentangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Wan Kamarul Azran berkata, mangsa telah dibawa ke Hospital Putrajaya bagi mendapatkan rawatan.
“Waris mangsa juga telah dihubungi bagi memaklumkan mengenai kejadian kemalangan itu.
“Kenderaan telah ditahan untuk urusan pemeriksaan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE