SHAH ALAM – “Saya tidak berharap apa-apa dan hanya mahu kekal fokus meneruskan tugas sebagai Exco di Selangor”.
Demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Rodziah Ismail mengulas ura-ura kemungkinan bakal dilantik sebagai Timbalan Menteri di peringkat Kerajaan Persekutuan.
Jelas beliau, keputusan itu terserah sepenuhnya kepada kebijaksanaan dan ketetapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Prinsip saya mudah iaitu sudah memberikan kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH) dan Datuk Seri Anwar dengan memenangi kerusi Parlimen Ampang.
“Kini, saya kembali menumpukan tanggungjawab sebagai Exco dan turut tidak mengharapkan jawatan lain,” katanya ketika ditemui pada Majlis Cabutan Undian Unit dan Menandatangani Penyerahan Hartanah kepada 26 bekas pemain bola sepak Selangor di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Tambah Rodziah yang juga Ahli Parlimen Ampang, beliau turut bersedia memberi peluang kepada tokoh lain untuk membarisi Kabinet Kerajaan Perpaduan.
“Apa yang penting kini adalah memberi sokongan padu dan jitu kepada kerajaan baharu untuk terus berkhidmat kepada rakyat.
“Bagi saya, isu jawatan tidak timbul malah kita perlu terus bergerak ke hadapan bagi memajukan lagi negara ke arah lebih baik,” ujarnya.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, Rodziah Ismail menang dengan majoriti sebanyak 29,681 undi menewaskan lapan calon lain termasuk penyandangnya Datuk Zuraida Kamaruddin. – KOSMO! ONLINE