DI sebalik keperibadiannya yang kelakar, Jinyoung sebenarnya memiliki sisi serius, terutama apabila membabitkan perihal peribadi.
Sikap tersebut ditonjolkan anggota GOT7 itu ketika menjawab soalan berhubung pandangannya terhadap percintaan.
Pelakon drama Yumi Cells itu mengakui, sebagai lelaki, dirinya harus menjalin hubungan cinta tetapi sukar berbuat demikian kerana kekangan masa.
“Saya patut ‘dating’ tapi tak ada masa. Lagi pun saya perlu menjalani latihan ketenteraan wajib tidak lama lagi. Jadi kenapa perlu ‘dating’?
“Mencari seseorang dan kemudian bercinta seperti memberi banyak tekanan kepada saya,” katanya.
Dalam nada bergurau, penyanyi itu bagaimanapun berjanji akan cuba bercinta sejurus tamat latihan ketenteraan kelak.
“Saya akan cuba selepas keluar kem. Saya pun akan masuk umur 30 tahun pada waktu itu, jadi saya yakin peminat akan faham,” katanya sambil ketawa.