fbpx

Anwar rai kunjungan hormat delegasi TPM Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Thailand, Prawit Wongsuwan (kanan) di Seri Perdana hari ini. - Foto IHSAN PMO

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Thailand, Prawit Wongsuwan di kediaman rasmi beliau di Seri Perdana di sini, hari ini.

Delegasi lawatan khas ke Malaysia itu tiba di Seri Perdana kira-kira pukul 12 tengah hari tadi dan disambut oleh Anwar serta Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Anwar dan Prawit seterusnya mengadakan perbincangan selama hampir dua jam sebelum meraikan Prawit serta delegasinya yang turut disertai oleh Timbalan Menteri Pertahanan Thailand, Chaichan Changmongkol dalam satu majlis makan tengah hari.

Perdana Menteri berkata, perbincangan beliau bersama Prawit antara lain menyentuh mengenai insiden letupan bom mengakibatkan sebuah kereta api barang yang dalam perjalanan dari Hatyai ke Padang Besar tergelincir pada 6 Disember lalu.

“Menerima kunjungan hormat sahabat saya di Seri Perdana tengah hari tadi. Saya turut mengambil kesempatan memperkenalkan Datuk Seri Mohamad dan Datuk Seri Saifuddin Nasution kepada beliau.

“Malaysia dan Thailand mempunyai hubungan yang cukup baik sejak sekian lama dan saya menzahirkan harapan agar ia terus diperkasa melalui kerjasama dalam pelbagai lapangan,” katanya menerusi perkongsian di laman sosial media hari ini.

Malaysia dan Thailand telah menjalinkan hubungan diplomatik selama 65 tahun sejak Malaysia mencapai kemerdekaan malah negara Gajah Putih itu juga merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI