fbpx

Tunang didenda RM3,300, lesen digantung setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nuraiman didenda RM3,300 kerana membenarkan tunangnya, Nur Fatin memandu kereta tanpa lesen, cukai jalan tamat tempoh serta tiada insurans. - Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Seorang operator kilang dijatuhi hukuman denda RM3,300 selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan membenarkan tunangnya memandu kereta tanpa lesen, cukai kenderaan tamat tempoh dan kenderaan tiada insuran Sabtu lalu.

Majistret Suhaila Shafi’uddin membuat keputusan itu selepas tertuduh, Nuraiman Fathi Mohd. Zukki, 23, mengaku salah atas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan secara serentak.

Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung selama setahun serta penjara 13 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama, Nuraiman dituduh membenarkan tunangnya, Nur Fatin Nasrah Suhaimi, 23, yang tidak mempunyai lesen memandu yang sah memandu kereta miliknya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di lampu isyarat Kilometer 4, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi di sini pada pukul 8.26 pagi, 10 Oktober lalu.

Dia dakwa mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 26(2) akta yang sama memperuntukan hukuman denda sehingga RM2,000 dan penjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, dia didakwa membenarkan tunangnya memandu kereta miliknya yang telah tamat tempoh cukai jalan di tempat dan masa yang sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 15(1) APJ 1987 (Akta 333/87) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 119(2) akta yang sama memperuntukan hukuman denda sehingga RM5,000, jika sabit kesalahan.

Manakala pertuduhan ketiga pula, Nuraiman dituduh membenarkan tunangnya memandu kereta miliknya yang tidak ada perlindungan insuran seperti yang dikehendaki dibawah Bahagian IV APJ 1987 (Akta 333/87) di tempat dan masa yang sama.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 90(1) APJ 1987 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 90(2) akta yang sama yang memperuntukan hukuman sehingga denda RM1,000, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pengarah Pendakwa Raya Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abd. Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya, Noridayu Md. Kassim manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI