TANJUNG MALIM – Sembilan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya melangkah ke saringan akhir Anugerah Tokoh Siswa 2022 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, UPSI mendominasi anugerah berprestij berkenaan pada 2017 apabila seramai lima mahasiswanya memenangi anugerah tokoh siswa dalam beberapa kategori.
“Penganugerahan Tokoh Siswa menjadi idaman mahasiswa kerana ia mencerminkan keupayaan universiti melahirkan graduan berfikiran kritis, inovatif dan pintar.
“Selain itu, ia juga menjadi cerminan bahawa universiti itu mempunyai daya serta nilai kepimpinan yang tinggi dan berketerampilan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Anugerah Tokoh Siswa merupakan anugerah paling berprestij di arena mahasiswa di negara ini yang mengiktiraf pencapaian golongan itu dalam ketokohan berorganisasi serta penganjuran program-program berimpak tinggi di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.
Secara keseluruhan, jumlah mahasiswa di negara ini mencecah 1.2 juta orang ketika ini yang mengikuti pengajian di universiti awam dan swasta.
Daripada jumlah itu, ribuan mahasiswa memohon untuk menerima anugerah tersebut, namun untuk peringkat akhir hanya tiga finalis bagi setiap kategori dipilih.
Difahamkan pada tahun ini, tuan rumah bagi Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2022 akan diadakan di Universiti Putra Malaysia pada 17 Disember 2022 depan.
Pada masa sama, Md. Amin berkata, mahasiswa UPSI yang bakal menjadi pendidik sentiasa berusaha memantapkan keupayaan kurikulum akademik, kokurikulum serta pelbagai kemahiran insaniah.
“Ia sebagai persiapan diri sebelum berjaya mendapatkan tempat dalam pasaran tenaga kerja sama ada di dalam mahupun luar negara yang penuh persaingan,” katanya. – KOSMO! ONLINE