fbpx

Cuepacs mohon pertimbangan Perdana Menteri, kekalkan insentif penjawat awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) memohon pertimbangan Perdana Menteri agar dapat mengekalkan segala insentif baik diumumkan kerajaan terdahulu melalui Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-18 dan pembentangan Bajet 2023.

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata, pihaknya melihat insentif itu wajar dikekalkan memandangkan ia suatu perkara baik dalam menjaga kebajikan semasa penjawat awam yang terhimpit dengan isu peningkatan harga barangan dan kos sara hidup lain.

Menurutnya, antara insentif tersebut ialah kenaikan KGT (Kenaikan Gaji Tahunan) RM100 untuk penjawat awam Gred 11 hingga Gred 56, kenaikan kadar maksimum ‘award’ wang tunai (Gantian Cuti Rehat) daripada 160 hari ke-180 hari serta tambahan kadar cuti rehat khas lima hari untuk pegawai perkhidmatan pendidikan yang berkhidmat lebih 10 tahun.

“Selain itu, cuti tanpa rekod (urusan kematian) diperluas kepada adik-beradik, nenek dan datuk. Tambah baik kadar tetap tiga peratus semasa bagi pegawai yang mencapai gaji maksimum kepada satu kadar baharu serta bantuan khas kewangan RM700 (Gred 56 ke bawah) selain RM350 untuk pesara kerajaan dan veteran tidak berpencen.

“Insentif ini telah dijanjikan oleh kerajaan selaku majikan kepada penjawat awam dan adalah tidak wajar ia ditarik semula hanya kerana berlakunya perubahan kepimpinan yang membentuk kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Cuepacs tidak mahu perkara sama terjadi pada tahun 2018 apabila banyak perkara dijanjikan oleh kerajaan untuk penjawat awam tidak dilaksanakan hanya kerana disebabkan perubahan kepimpinan yang membentuk kerajaan.

“Harus difahami walaupun perubahan yang berlaku dalam kepimpinan kerajaan, majikan bagi penjawat awam tetap sama iaitu kerajaan semasa yang memerintah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI