fbpx

Tubuh pasukan khas siasat dakwaan kartel manipulasi telur ayam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang pekerja kedai pemborong dan pembekal telur sedang memeriksa telur ayam yang bakal dihantar ke kedai-kedai di sekitar George Town, di sini hari ini. - Foto oleh IQBAL HAMDAN

GEORGE TOWN – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan digesa untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menyiasat dakwaan kewujudan kartel yang menjadi punca bekalan telur dan ayam segar berkurangan di pasaran.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, dakwaan itu adalah satu perkara yang serius kerana telah ditimbulkan oleh beberapa individu yang terlibat dengan industri makanan.

“Ada pihak mendakwa kartel wujud dan mereka mendakwa kartel ini yang menyembelih ayam sebelum ia bertelur untuk memanipulasi harga.

“Dakwaan ini perlu segera disiasat, oleh itu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan disaran untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat perkara ini,” katanya di Pejabat CAP di sini hari ini.

Krisis ketiadaan bekalan telur ayam dan ayam segar terus membelenggu dan meresahkan rakyat sehingga mencetuskan kebimbangan jika tidak ditangani segera.

Masalah ini dijangka menambah bebanan pengguna apabila negara sedang memasuki musim tengkujuh yang dalam tempoh tersebut beban rakyat bakal ditambah dengan kenaikan harga ikan ekoran nelayan tidak boleh ke laut.

Menurut Mohideen, selain itu Malaysia juga tidak boleh menjadi terlalu bergantung kepada bekalan makanan dari luar negara untuk menjamin keselamatan makanan di negara ini.

”Langkah untuk mengimport telur ayam yang dicadangkan kerajaan bagi mengimbangi bekalan telur adalah baik namun ia hanya penyelesaian bagi jangka masa pendek.

”Apa akan jadi sekiranya negara luar tidak mahu menjual telur ayam kepada negara ini, sudah pasti masalah kekurangan bekalan telur akan terus membelenggu rakyat,” katanya.

Tambahnya, Malaysia perlu berdikari untuk menjadi negara pengeluar makanan bagi kegunaan rakyat memandangkan sumber dan tanah di negara ini berpotensi untuk diterokai.

”Masih belum terlambat untuk Malaysia menjadi negara pengeluar makanan dan Kerajaan Pusat perlu betulkan semula dasar-dasar negara ini yang berkaitan pertanian serta keselamatan makanan.

”Kita tidak boleh terlalu fokus menjadi negara industri dan bergantung kepada import makanan semata-mata untuk menangani masalah kekurangan bekalan makanan asas,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI