fbpx

EB Frozen sasar 400 sumbangan pek makanan kepada tiga organisasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noor Azlin (lima dari kiri) ketika menyampaikan sumbangan pek makanan kepada guru di Sekolah Kebangsaan Taman Melawati.

GOMBAK – Jenama makanan sejuk beku terkenal, EB Frozen Food Sdn. Bhd. (EB Frozen) menyasarkan sebanyak 400 sumbangan pek makanan melalui kempen ‘EB Untuk Anda’ kepada tiga organisasi pada bulan ini.

Eksekutif Kanan Pemasaran EB Frozen Food Sdn. Bhd., Noor Azlin Badrim berkata kempen tersebut adalah bagi menghargai jasa para guru, polis, dan bomba yang saban hari mengorbankan masa dan nyawa kepada rakyat di negara ini.

Katanya, sebanyak 100 pek makanan diedarkan kepada guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Melawati pada hari ini, manakala Balai Bomba dan Penyelamat terpilih sekitar Pulau Pinang serta Balai Polis terpilih sekitar daerah Johor Bahru Utara masing-masing 150 pek makanan pada 14 dan 20 Disember ini.

“Norma pekerjaan mereka sering dengan konsep yang dibawa EB iaitu mudah dan cepat di mana adalah menjadi rutin mereka untuk sentiasa berada dalam keadaan sedia, bergerak dengan cepat dan sentiasa dalam keadaan yang sibuk.

“Ia juga sempena pelancaran siri terbaru syarikat iaitu Alaska Pollock Fillet, Alaska Pollock Finger, Crispy Battered Fried Shrimp dan Cheese Stick,” katanya selepas menyerahkan 100 pek makanan kepada guru di Sekolah Kebangsaan Taman Melawati di sini hari ini.

Tambahnya, sumbangan yang diberikan berbentuk pek makanan telah siap di masak menggunakan Alaska Pollock Fillet sebagai hidangan utama beserta minuman dan buah-buahan.

Noor Azlin berharap inisiatif EB Untuk Anda ini dapat diteruskan bagi menghargai jasa serta perjuangan mereka mendidik anak bangsa selain menabur bakti kepada masyarakat.

“EB Frozen berharap, inisiatif ‘EB Untuk Anda’ dapat diteruskan dan dapat memberi semangat kepada para guru, anggota polis, dan anggota bomba dan penyelamat.

“Selain itu, EB Frozen juga berharap program seperti ini memberi inspirasi kepada semua untuk terus menghargai jasa mereka mendidik dan juga berjuang kepada bangsa dan negara,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Taman Melawati Sarifah Mohamad mengucapkan terima kasih atas sumbangan pek makanan yang diberikan oleh EB frozen kepada guru di sekolah itu.

“Kami berbesar hati atas sumbangan makanan yang diberikan dan kami sebagai tenaga pengajar berasa sangat dihargai atas sumbangan yang diberikan oleh EB Frozen,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI