fbpx

Bot pukat tunda diusahakan warga asing ditahan APMM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiga warga Myanmar yang ditahan APMM di Kuala Gula, Bagan Serai semalam.

BAGAN SERAI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melalui Zon Maritim Kuala Kurau menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B jenis pukat tunda di Kuala Gula kira-kira pukul 11.30 pagi di sini semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Najhan Azman Hamid berkata, pihaknya turut menahan tiga warga Myanmar yang mengusahakan bot berkenaan.

“Semasa rondaan rutin di perairan Kerian dan Larut Matang, pasukan peronda APMM telah mengesan bot itu dalam keadaan mencurigakan dan ia dirapati untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan menemukan seramai tiga kru warga Myanmar termasuk tekong yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah berumur antara 35 hingga 43 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Najhan berkata, pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, bot itu memiliki lesen yang sah namun tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya seperti mana disyaratkan pada lesen.

Selain itu, katanya, tekong gagal mengemukakan dokumen kebenaran menggajikan pekerja asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Sebanyak 500 kilogram hasil udang dan ikan campur serta ikan baja turut ditemukan semasa pemeriksaan dilakukan.

“Kesemua kru, bot nelayan, hasil laut pelbagai jenis dan peralatan menangkap ikan ditahan sebelum dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Ia juga disiasat bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu tidak mengusahakan sendiri bot oleh pemiliknya,” katanya.

Tambahnya, APMM menasihatkan kepada komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan demi kesejahteraan bersama.

Sebarang aduan dan kecemasan yang berlaku di laut, orang ramai boleh melaporkannya kepada APMM di talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau (05-7279919) untuk tindakan segera. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI