Oleh MOHAMAD FAHD RAHMAT
BATU PAHAT – Seorang pekerja penghantar makanan maut dilanggar lari dalam kemalangan di Kilometer 88.3 LebuhRaya Utara-Selatan, Arah Selatan, Yong Peng, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 8.57 malam itu, mangsa, Muhamad Faiz Kamis, 30, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada kepala dan badan.
Menurut Komander Operasi dari Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Ahmad Rafidi Ramli berkata, seramai tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 telah dilanggar lari oleh kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti.
“Terdapat seorang mangsa iaitu penunggang motosikal disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Dalam pada itu, rakan sekerja mangsa, Mohd. Helmi Misnan, 29, berkata, difahamkan keadaan mayat sahabatnya itu hampir terputus dua akibat kemalangan itu.
“Arwah gelisah kali terakhir saya temuinya tengah hari semalam. Arwah ke hulu ke hilir dan apabila ditanya dia kata mahu jemur baju hujan di tengah panas.
“Itu kali terakhir kami berjumpa di Dataran Yong Peng tetapi saya hairan kenapa arwah memilih lebuh raya sedangkan selalunya balik kerja melalui jalan dalam.
“Dia pernah mengatakan dia ngeri lalu situ sebab kenderaan banyak tetapi mungkin itu sudah tertulis ketentuan ajalnya,” katanya. – K! ONLINE