KUALA LUMPUR- Pas mahu semua parti politik yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya kerajaan dapat berfungsi dengan baik.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, jemaah Kabinet yang dianggotai parti daripada Barisan Nasional, Perikatan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Pas dan Gabungan Rakyat Sabah mesti bertindak secara kolektif.
“Pas yakin baginda telah bertindak berdasarkan segala kuasa prerogatif dan budi bicara sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan dan undang-undang negara atas konsep Raja Berperlembagaan.
“Justeru Pas menyeru parti-parti politik yang diberikan amanah untuk membentuk Kerajaan Baginda yang kini dipimpin oleh Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri, diberikan sokongan padu tanpa diganggu-gugat bagi membolehkan kerajaan ini berfungsi dengan baik dan efektif,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan beliau hari ini.
Ujar beliau, keutamaan sewajarnya diberikan kepada kesejahteraan rakyat terutama di waktu-waktu sukar ketika semua pihak bertungkus-lumus menangani penularan wabak Covid-19 serta langkah memulihkan ekonomi negara yang terjejas teruk. – K! ONLINE