KUALA LUMPUR – Bekas setiausaha politik bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu atau Mat Sabu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.35 juta berhubung projek di Kementerian Pertahanan tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh Mohd. Azhar Che Mat Dali, 49, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.
Mengikut pertuduhan pertama Mohd. Azhar didakwa telah secara rasuah meminta suapan RM5 juta daripada Elias Jemadi Tajudin iaitu Pengarah Urusan Syarikat FEHM Entity Sdn. Bhd.
Wang itu sebagai upah untuknya yang ketika itu sebagai Setiausaha Politik Menteri Pertahanan Mohamad Sabu membantu syarikat tersebut untuk dipilih menjadi Rakan Strategik dan Kontraktor Senggaraan bagi peralatan perisikan sistem prisma Direktrorat Peperangan Informasi (DPI) bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) Kementerian Pertahanan Malaysia.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik di Hotel Le Apple Boutique, Jalan Ampang Kampung Baru di sini pada 22 Julai 2019.
Sementara bagi pertuduhan kedua hingga kelima Mohd. Azhar didakwa menerima suapan berjumlah RM1.35 juta daripada Elias melalui pengarah Syarikat Ikaira Resources, Zainudin Abdul Majid dan Pengarah Syarikat Aqsa Solutions Sdn. Bhd., Ahmad Hisham Mohd. Tajuddin atas tujuan sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Presint 16, Putrajaya, kawasan parkir sebuah restoran di Kampung Attap, tepi jalan sebuah kopitiam di Jalan Tun Sambathan dan kawasan parkir kediaman rasmi Mohamad Sabu (ketika kejadian) di Jalan Bellamy, Bukit Petaling di sini antara September 2019 hingga Februari tahun ini.
Bagi kesemua pertuduhan itu, Mohd. Azhar didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seskyen 24(1) akta sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat, menawarkan jaminan RM500,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM selain pasport diserahkan kepada mahkamah dan tidak menganggu dengan saksi pendakwaan.
Bagaimanapun peguam Ariff Azami Hussein yang mewakili tertuduh memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan berikutan anak guamnya sudah tidak lagi bekerja sejak Februari tahun lalu.
“Tertuduh mempunyai tanggungan tujuh orang anak yang mana dua daripada masih bersekolah. Sepanjang siasatan dijalankan tertuduh telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa,” katanya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Azura membenarkan tertuduh diikat jamin RM300,000 dengan dua penjamin selain perlu melaporkan diri bermula November ini di pejabat SPRM pada setiap bulan serta pasport diserahkan sehingga kes selesai.
“Tertuduh juga dilarang menganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai,” kata Azura.
Pada sama Azura turut membenarkan tertuduh membayar separuh jumlah jaminan hari ini, manakala selebihnya dibayar pada minggu depan.
Tarikh 26 November ini ditetapkan sebutan semula kes. – K! ONLINE