LIPIS – Tiada apa yang mampu dilakukan oleh seorang suami kepada wanita yang maut dipijak gajah liar di Kampung Simoi Baru di sini selain menggesa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk segera memindahkan haiwan liar itu ke tempat lain.
Basir Gelahok, 50, berkata, kematian isterinya, Wak Angkat Yok Tong, 39, dalam kejadian pada pukul 4 pagi kelmarin mungkin boleh berulang sekiranya tiada tindakan segera dilakukan oleh pihak terbabit.
“Memang sepatutnya kerajaan memindahkan gajah liar ini, kalau tidak kami akan kerap berdepan ancaman dan kemungkinan lebih ramai lagi Orang Asli akan menjadi mangsa.
“Sejak kematian isteri saya, penduduk di sini sangat takut dan masih terkejut serta masing-masing tidak dapat tidur kerana bimbang gajah akan datang semula,” katanya di Kampung Simoi Baru, Pos Betau dekat sini semalam.
Menurut Basir, kawanan gajah liar itu kerap menceroboh ke kawasan kebun mereka untuk mencari makanan seperti pokok pisang, tebu dan tanaman lain.
“Kejadian awal pagi itu amat menyedihkan, saya tidak sangka kawanan gajah itu mengganggu kediaman kami sehingga isteri saya menjadi mangsa selepas dipijak,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Amin Cangak, 30, berkata, kehidupan mereka kini dihantui ketakutan dan ada yang bimbang untuk keluar bekerja di kebun pisang selain menoreh getah.
“Kami juga merancang untuk berpindah, tetapi di mana lagi tempat untuk kami kerana kawasan ini merupakan tanah milik ibu bapa dan moyang Orang Asli sejak 20 tahun lalu,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd. Nor berkata, kejadian pencerobohan gajah liar di Kampung Simoi Baru kelmarin turut berlaku di Kampung Simoi Lama dan beberapa perkampungan Orang Asli di Pos Lenjang dan Pos Betau, Ulu Jelai daerah ini.
Ramli berkata, berdasarkan aduan penduduk sejak dua bulan lalu, kawanan gajah liar itu sering menceroboh kawasan kampung di Pos Lenjang dan Pos Betau untuk mencari makanan.
“Menurut aduan penduduk, haiwan liar ini lebih agresif apabila turut memusnahkan rumah penduduk pada waktu malam menyebabkan penghuni di situ keluar untuk menyelamatkan diri,” katanya. -KOSMO! ONLINE