LOS ANGELES – Kumpulan sensasi pop global dari Korea Selatan, Blackpink dipilih oleh majalah Time sebagai Penghibur Terbaik bagi Tahun 2022, lapor CNN semalam.
Ia merupakan kumpulan K-Pop kedua dari negara tersebut yang mendapat gelaran itu selepas BTS dinobatkan oleh majalah sama sebagai Penghibur Terbaik Tahun 2020.
Kumpulan itu yang dianggotai oleh Jennie, Jisso, Lisa dan Rose bernaung di bawah syarikat hiburan, YG Entertainment dan mengecapi populariti dengan pantas selepas pertama kali membuat kemunculan sulung pada tahun 2016.
Ia mencatat sejarah sebagai kumpulan K-Pop wanita pertama dari Korea Selatan yang mempunyai jualan album melebihi satu juta salinan dalam masa kurang dari sebulan menerusi ‘The Album’ pada tahun 2020.
“Kami melakukan banyak kerja supaya kami kelihatan seperti wanita luar biasa. Pada akhirnya, kami hanya gadis yang sangat biasa,” kata seorang anggota itu, Jennie kepada majalah Time.
Sebahagian daripada kejayaan global kumpulan itu datang daripada latar belakang kosmopolitan anggota-anggotanya seperti Rose yang dilahirkan di New Zealand dan dibesarkan di Australia.
Jennie dilahirkan di Korea Selatan tetapi dibesarkan di New Zealand manakala Lisa berasal dari Thailand dan Jisoo adalah satu-satunya anggota kumpulan tersebut yang dilahirkan dan dibesarkan di Korea Selatan. – Agensi