KOTA BHARU – Seramai 850 banduan Jabatan Penjara Kelantan yang sedang menjalani hukuman diberi latihan pekerjaan dalam pelbagai bidang melibatkan kerjasama dengan syarikat Corporate Smart Internship (CSI).
Pengarah Jabatan Penjara Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Mat Yaacob berkata, kerjasama yang terjalin dengan syarikat tersebut sejak empat tahun lalu itu telah menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan berkenaan.
“Seramai 850 banduan termasuk 280 sedang bekerja dengan syarikat berkenaan pada tahun ini.
“Setakat ini, kesemua 21 buah syarikat CSI dapat menyediakan sebanyak 300 peluang pekerjaan kepada banduan. Masih ada banyak lagi syarikat yang sedang menunggu untuk bekerjasama dengan kita,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Outreach Memperkasa Komuniti Koreksional, ‘We Care’ Peringkat Penjara Negeri Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mat berkata, banduan yang terlibat dengan program itu terdiri daripada penghuni penjara yang bakal menyertai Sistem Parol dan Program Pembebasan Banduan Secara Lesen (PBSL).
“Bidang yang mereka ceburi antaranya mekanik, sektor pengilangan dan perladangan. Ada syarikat yang sedang menunggu untuk mengambil banduan wanita untuk menjalani latihan spa,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE