ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri didesak untuk membuat semakan semula pemetaan persempadanan perairan antarabangsa antara Johor dan Singapura khasnya di perairan Selat Tebrau, di sini.
Gesaan itu dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad semasa sesi berbahas sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, hari ini.
Menurut beliau, gesaan itu dibuat ekoran tindakan pihak berkuasa Singapura yang menghalau nelayan tempatan dengan kata-kata kesat dan berbaur hinaan, Oktober lalu.
“Insiden tersebut tidak wajar dan tidak sepatutnya berlaku, imej rakyat kita dihina, nelayan kita ini bukan penceroboh sebalik hanya mencari rezeki sebagai nelayan dengan menjala dan memancing di sana.
“Tetapi mereka dihalau dah dihina dengan kata-kata kesat, tindakan pihak berkuasa negara itu iaitu Police Cost Guard tidak wajar dan kerajaan negeri harus ambil tindakan segera dan hantar surat bantahan kepada negara tersebut.
“Isu ini tidak harus ‘disenyapkan’ begitu sahaja kerana tanpa ada bantahan, seolah-olah mengaku kesalahan rakyat kita sedangkan selama ini,” katanya ketika berucap dalam sesi persidangan tersebut di Kota Iskandar, di sini.
Pada 24 Oktober lalu, beberapa nelayan tempatan yang terlibat dalam pertengkaran dengan pihak berkuasa Singapura mendakwa dihamburkan kata-kata kesat dan penghinaan oleh pihak berkuasa Singapura.-KOSMO! ONLINE