ISKANDAR PUTERI – Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menetapkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak hadir mesyuarat persidangan itu tidak dibenarkan mewakilkan soalan lisan kepada ahli yang hadir, bermula tahun depan.
Speaker DUN Johor, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, tindakan menggunakan wakil atau proksi adalah perbuatan yang boleh menjejaskan kredibiliti DUN Johor.
“Saya memutuskan bermula pada tahun depan dalam sidang yang akan datang, dewan tidak lagi akan membenarkan ADUN yang tidak hadir di dewan mesyuarat mengemukakan soalan lisan mereka melalui ADUN yang hadir.
“Tidak hadir adalah tidak hadir. Kita tidak membenarkan ahli yang tidak mengikut peraturan kerana ini akan menjejaskan kredibiliti dewan,” katanya sebelum sesi soal jawab sempena Sidang DUN Johor, di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Beliau yang juga merupakan ADUN Rengit turut memberitahu, perkara berkenaan dibangkitkan sebagai merujuk kepada tiga ADUN yang tidak hadir pada persidangan semalam, namun soalan lisan mereka dibacakan oleh ADUN yang hadir.
“Semalam, ADUN Mahkota (Datuk Sharifah Azizah Syed Zain), ADUN Tangkak (Ee Chin Li) dan ADUN Panti (Hahasrin Hashim) tidak hadir sidang dewan melalui notis yang dibenarkan.
“Ketiga-tiga ahli yang berhormat berkenaan mengemukakan soalan lisan tanpa kehadiran mereka kerana dibaca oleh ahli-ahli yang berhormat yang lain.
“Maka saya merujuk standing order Dewan Negeri Johor perkara 26(4) dengan izin, if the member entitled to an oral reply fails to rise and ask his question, yang bermaksud, ahli-ahli yang berhormat mana yang tidak hadir tetapi mereka tidak bangun,” jelasnya.
Tambahnya, DUN Johor juga tidak membenarkan ahli-ahlinya menjadi proksi, dan begitu juga dengan soalan lisan yang tidak boleh diproksikan.
“Bayangkan kita ada 10 soalan yang diproksikan dalam satu hari, maka di manakah kewibawaan dewan. Logiknya dewan juga tidak membenarkan menjadi proksi
walaupun ahli yang berhormat tidak hadir kerana dijangkiti Covid-19 ataupun yang lain-lain.
“Maka begitulah juga soalan lisan tidak boleh diproksikan. Saya juga ingin mengingatkan soalan lisan adalah nadi penting kepada dewan ini, tetapi kita perhati ada juga ahli-ahli yang berhormat yang tidak menghantar soalan atau hanya hantar satu dua soalan. Semoga kita dapat perbaiki perkara ini pada masa akan datang,” tambahnya lanjut. – KOSMO! ONLINE