fbpx

Nikmati daging wagyu dengan cara yakiniku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MIRNAWAN menunjukkan hidangan tempura dan sotong panggang yang ditawarkan di restoran Wagyu Master Malaysia, Chow Kit, Kuala Lumpur.

RAMAI menganggap semua rasa daging lembu adalah sama sahaja. Hakikatnya, ia berbeza mengikut jenis lembu dan bahagian daging tersebut.

Malah, rasa daging lembu berbeza mengikut Skor Marbling Daging (BMS) iaitu butiran lemak putih yang tersebar pada otot. Salah satu daging premium yang mempunyai skor BMS tinggi adalah wagyu.

Daging lembu berasal dari Jepun itu semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat di negara ini terutamanya mereka yang inginkan kelainan.

Salah satu restoran yang menawarkan daging premium tersebut adalah Wagyu Master Malaysia (Wagyu Master) yang terletak di Chow Kit, Kuala Lumpur.

Mula dibuka secara rasmi pada Ogos lalu, restoran berkenaan menawarkan pengalaman dan kepuasan berbeza kepada para pemburu daging berkualiti tersebut.

Pengarah bersama Wagyu Master, Datuk Mirnawan Nawawi berkata, jenama restoran tersebut sangat popular di Taiwan dan telah mempunyai 12 cawangan di sana.

“Dua rakan kongsi saya, Edwin Tan dan Dylan Lim berjaya meyakinkan pemilik di sana untuk membuka cawangan Wagyu Master di Malaysia, sekali gus menjadi negara pertama yang memiliki restoran berkenaan di luar Taiwan.

“Konsep Wagyu Master di negara ini sedikit berbeza dengan di Taiwan kerana kami mengetengahkan elemen yakiniku (panggang) dan fine dining. Di Taiwan, ia berkonsepkan sebuah restoran Jepun kelas pertengahan,” ujarnya.

Menariknya, restoran berkenaan menawarkan daging wagyu gred A5 dan BMS dengan skor 10 ke atas.

DAGING wagyu di restoran Wagyu Master dihidangan dengan cara yakiniku bagi mengekalkan keaslian rasanya.

Menurut Mirnawan yang juga bekas pemain hoki kebangsaan, daging wagyu yang digunakan di restoran berkenaan sudah mendapat akreditasi pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Daging di restoran ini kami ambil dari ladang di Miyazaki, Jepun yang mempunyai pengesahan halal, sebelum diproses di syarikat Nishiawa Beef Ltd.

“Ia sudah disahkan halal oleh pihak JAKIM yang memantau sendiri ladang dan prosesnya. Ini bermakna daging yang diimport memang halal,” katanya sambil memaklumkan, harga daging wagyu berbeza mengikut bahagian.

Jelasnya lagi, daging wagyu ditawarkan dalam beberapa potong seperti slice, dadu, stik bagi memudahkan pelanggan memanggangnya.

Ujarnya lagi, pelanggan bebas memangang daging wagyu mengikut selera masing-masing sama ada rare, medium rare atau well done sebelum dijamah bersama sos combo.

“Walaupun daging ini dibakar tanpa meletakkan sebarang bahan seperti garam atau rempah-ratus, namun ia sudah mampu membuatkan seseorang itu jatuh cinta kepada rasanya. Apabila makan daging ini, ia seperti ‘cair’ di dalam mulut dan isinya sangat lembut,” ujarnya.

Selain daging wagyu, restoran berkenaan turut menawarkan seleksi hidangan Jepun lain seperti set unagi don, beef gyudon, tempura don, miso salmon, grill saba shioyaki, grill honey soy chicken dan chicken karage.

Mirnawan memaklumkan, restoran Wagyu Master menggabungkan elemen tradisional dan moden bagi mewujudkan suasana tenang buat pelanggan yang hadir.

Restoran yang mampu memuatkan seramai 100 pelanggan pada satu-satu masa itu dibuka pada setiap Selasa hingga Ahad bermula pukul 12 tengah hari hingga 3 petang, sebelum disambung semula pada 6 petang sehingga 10.30 malam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI