BANDUNG – Seorang anggota polis maut manakala tiga yang lain cedera parah dalam kejadian letupan bom di luar sebuah balai polis di kota Bandung, dalam wilayah Jawa Barat hari ini, lapor stesen penyiaran Kompas TV.
“Kemas kini mangsa insiden pengebom bunuh diri di balai polis Astanaanyar adalah seorang anggota terkorban, tiga cedera parah dan empat cedera ringan.
“Satu lagi mangsa yang cedera ringan ialah orang awam,” kata Ketua Biro Penerangan Masyarakat bahagian Perhubungan Awam Polis Indonesia, Ahmad Ramadhan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jawa Barat, Suntana menambah, pengebom bunuh diri didapati membawa dua bahan peledak.
“Satu bahan peledak telah diletupkan oleh penyerang, manakala satu lagi telah dimusnahkan. Bahan peledak kedua itu ditemui di dalam balai polis,” katanya.
Bahan peledak yang ditemui itu dimusnahkan oleh unit pemusnah bom.
Insiden letupan bom itu berlaku sekitar pukul 8.20 pagi (waktu tempatan) hari ini, semasa perhimpunan tugasan diadakan di balai polis Astanaanyar.
“Seorang lelaki menceroboh masuk sambil menghunus sebilah senjata tajam. Dia cuba membuat kecoh ketika polis sedang berhimpun,” kata Ketua Polis Bandung, Aswin Sipayung.
Tambah Aswin, pengebom bunuh diri itu meletupkan bahan peledak yang telah membunuh dirinya termasuk seorang anggota polis.
“Pegawai-pegawai yang cedera telah dibawa ke hospital. Kami juga telah membersihkan kawasan kejadian dan menyekat semua laluan masuk,” jelasnya. – AFP/Agensi