fbpx

Majalah Time nobat Michelle Yeoh Ikon 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MICHELLE Yeoh diberi penghargaan sebagai Ikon 2022 kerana pengaruh besar dimilikinya dalam era kegemilangan filem aksi.

PETALING JAYA – Bintang Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh mencipta sejarah tersendiri apabila diumumkan oleh majalah antarabangsa Time sebagai Ikon Tahun 2022.

Pemilihan tersebut dianggap sebagai tanda pengiktirafan terhadap sumbangan besar aktres berusia 60 tahun itu kepada industri perfileman global.

Melalui hantaran dikongsi dalam Instagram, Time mendedikasikan penghargaan khas buat anak seni kelahiran Ipoh, Perak itu yang juga ikon paling berpengaruh Asia sejak berdekad lalu.

Kapsyen hantaran tersebut memperakui Yeoh sebagai kuasa besar dalam era kegemilangan filem aksi Hong Kong menerusi pembabitan dalam naskhah aksi selain mempunyai keberanian melakukan lagak ngeri.

Satu persatu pencapaian serta perincian penampilan Yeoh dalam setiap naskhah besar dikupas termasuk filem ‘box office’, Everything Everywhere All at Once yang ditayangkan Mac lalu.

Filem tersebut menyaksikan Yeoh melakonkan watak isteri dan ibu yang mahu menyelamatkan dunia sekali gus meletakkan aktres berkenaan dalam senarai pelakon nombor satu Hollywood.

Penampilannya dalam filem indie arahan Daniel Kwan dan Daniel Scheinert tersebut dianggap detik dinantikan, malah ramai percaya Yeoh bakal menggenggam Oscar melalui watak dibawanya.

MICHELLE Yeoh menerima pengiktirafan daripada majalah antarabangsa Time sebagai Ikon Tahun 2022.

Hantaran tersebut turut memetik temu bual aktres tersohor itu, antara lainnya mendedahkan dia menyedari hal berkenaan serta rasa diberkati.

“Saya ada memikirkannya. Bukan diri sendiri sahaja, saya fikir seluruh komuniti Asia turut memikirkannya. Mereka datang kepada saya dan beritahu, kamu melakukan ini untuk kami,” katanya.

Pada Ogos lalu, Yeoh yang membintangi lebih 70 filem sejak empat dekad lalu menjadi artis Asia pertama menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) dalam seni halus dari Institut Filem Amerika (AFI), Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).

Terdahulu, kerjaya seninya bermula selepas memenangi pertandingan Miss Malaysia World ketika berusia 20 tahun, seterusnya mewakili negara ke pertandingan Miss World 1983 di London, United Kingdom (UK) pada tahun yang sama.

Selepas itu, Yeoh muncul juara Miss International Tourism Quest hingga membuka laluan kepada dunia lakonan apabila terpilih menjayakan projek komersial bersama Jackie Chan sebelum disambar penerbit filem Hong Kong, D&B Films.

Antara filem lain lakonan Yeoh adalah Memoirs of A Geisha pada 2005 disusuli Reign of Assassins (2010), Kung Fu Panda 2 (2011) serta The Lady (2011) yang menyita perhatian dunia apabila dia membawa watak Aung San Suu Kyi.

Populariti Yeoh mula memuncak selepas dia dipilih menjadi ‘Gadis Bond’ dalam filem Tomorrow Never Dies di samping Pierce Brosnan pada tahun 1997.

Naskhah pecah panggung lain termasuklah Crouching Tiger Hidden Dragon, Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings dan Crazy Rich Asians.

Tahun 2022 juga menyaksikannya muncul dalam produksi mega seperti The School Of Good and Evil, Minions: The Rise Of Gru, Paws of Fury: the Legend Of Hank dan terbaharu Avatar: The Way Of Water. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI