fbpx

Warga emas didakwa cederakan kucing jiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang warga emas (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan bertindak kejam terhadap seekor kucing sehingga menyebabkan kecederaan kepada haiwan itu dua bulan lalu. - Foto ZULHANIFA SIDEK

KOTA BHARU – Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan bertindak kejam terhadap seekor kucing sehingga menyebabkan kecederaan kepada haiwan itu dua bulan lalu.

Tertuduh, Ab Hamid @ Fauzi Ismail, 70, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Shahrul Rizal Majid.

Mengikut pertuduhan, pesara kerajaan itu didakwa dengan kejam menyebabkan kesakitan tidak sepatutnya terhadap seekor kucing milik Nur Amalin Aishah Ariffin @ Mukhtar, 28.

Kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh di sebuah rumah di Lorong Raja Abdullah, Jalan Pintu Gang di sini kira-kira pukul 10.30 malam pada 17 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Sharif Sabran manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Rozihan Othman.

Mohd. Sharif memohon agar ikat jamin sebanyak RM5,000 dikenakan terhadap tertuduh, namun Rozihan meminta mahkamah menetapkan jaminan yang rendah dengan alasan anak guamnya sudah berusia.

Shahrul Rizal membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM 3,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan tarikh 22 November depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Tertuduh membayar jumlah ikat jamin yang ditetapkan.

Akhbar Kosmo! 21 Ogos lalu melaporkan, seorang pesara bertindak kejam dengan menembak dua ekor kucing sehingga menyebabkan seekor daripadanya mati.

Kejadian tidak berperikemanusiaan itu dilakukan oleh seeorang warga emas pada 1 Ogos dan 17 Ogos lalu dengan seekor kucing mati manakala seekor lagi mengalami kecederaan.

Warga emas bertindak sedemikian kerana berang haiwan peliharaan jirannya kerap berkeliaran di kawasan rumahnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI