PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu anak Presiden Turkiye, Necmettin Bilal Erdogan yang membuat kunjungan ke Kuala Lumpur, semalam.
Beliau berkata, pertemuan itu adalah bagi meraikan sahabatnya selain merapatkan hubungan kedua-dua negara.
“Insha-Allah, hubungan antara Malaysia dan Turkiye terus dipererat,” katanya ringkas menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Kali terakhir Anwar dilaporkan berjumpa Bilal Erdogan adalah pada 18 November 2018 ketika Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) ke-13.
Terdahulu, Presiden PKR itu turut menerima ucapan tahniah daripada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri ke-10. – KOSMO! ONLINE