SAHAM penjaga gol kebangsaan, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed diibaratkan’ pisang goreng panas’ apabila menerima sekurang-kurangnya tiga tawaran, namun enggan mendahului majikan baharu untuk membuat pengesahan masa depannya.
Memandangkan khidmatnya kini sedang ditagih Harimau Malaya, Ahmad Syihan lebih selesa untuk ‘kunci mulut’ kerana keputusan akhir bakal dibuat antara pasukan terbabit dan ejen.
“Yang itu (masa depan) saya tidak boleh beritahu, tunggu keputusan akan dikeluarkan kerana sekarang saya hanya fokus kepada tugasan bersama skuad kebangsaan. Ada dua atau tiga tawaran dan sekarang saya serahkan kepada ejen untuk melakukan tugas berkaitan,” katanya.
Kelibat bekas penjaga gol Negeri Sembilan itu mula menjadi sebutan selepas beraksi baik pada Piala Raja Thailand di Chiang Mai, September lalu hingga namanya dikaitkan bakal menyertai juara Piala Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) musim depan.
Ditanya adakah perpindahannya kali ini bakal membuka peluang buatnya jadi lebih baik, Ahmad Syihan akui sudah pun mengambil kira beberapa perkara termasuk soal minit permainan.
“Untuk buat pilihan, saya kena ikut yang mana lebih baik iaitu mampu buka peluang kepada saya belajar dan jadi penjaga gol lebih baik. Soal minit permainan pun menjadi perkara yang penting bagi saya.
“Namun segalanya terletak kepada pemain itu sendiri. Kalau kita main-main dalam latihan, maka dalam perlawanan nanti pun kita tidak mampu beraksi baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE