fbpx

Ibu tinggal bayi setahun dalam bilik panas dipenjara 2 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Stacey membiarkan Ethan tanpa pengawasan selama dua jam dan menjual barangan milik bayi itu selepas kematiannya. – Facebook/SWNS

LONDON – Seorang wanita di Britain dijatuhi hukuman penjara dua tahun kerana menyebabkan kematian bayinya yang berusia setahun selepas meninggalkan kanak-kanak itu dalam keadaan panas di sebuah bilik selama dua jam tanpa pengawasan ketika dia keluar bersiar-siar, lapor akhbar The Sun semalam.

Stacey Davis, 35, meninggalkan anaknya, Ethan Davis, satu tahun, di dalam katil bayi di bilik bersuhu 27 darjah Celcius tanpa membuka tingkap atau kipas.

Dia kemudian keluar dari rumah dan bersiar-siar di taman ketika anaknya dibiarkan tanpa pengawasan di rumah.

Wanita itu juga tergamak menjual barangan milik Ethan di laman Facebook termasuk tabung digelar ‘Simpanan Si Kecil’ pada harga £5 (RM27) dan sekotak pakaian bayi untuk usia tiga hingga enam tahun.

Perbicaraan di Mahkamah Diraja Salisbury menjelaskan bagaimana tertuduh meninggalkan mangsa di dalam katil bayi ketika dia keluar membeli-belah pada Jun 2018.

Dia juga tidak memeriksa keadaan Ethan selama 30 minit selepas pulang ke rumahnya di Melksham, Wiltshire.

Selepas menyedari bayi itu dalam keadaan tidak bergerak di atas katilnya, tertuduh membawa mangsa ke hospital di mana dia disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu.

Bedah siasat mendapati mangsa mengalami patah tulang sepanjang 15 sentimeter namun, punca kematiannya tidak dapat dipastikan.

Tertuduh memberitahu polis bahawa mangsa terjatuh dan terkena pada bahagian kepalanya namun, dia tidak membawa bayi itu ke hospital meskipun keadaannya menjadi bengkak dan lebam.

Penyiasat forensik turut mengesan kehadiran ganja pada kadar yang tinggi dalam rambut mangsa yang disebabkan oleh tabiat menghisap ganja tertuduh.

Stacey dijatuhi hukuman penjara dua tahun selepas mengaku bersalah melakukan kekejaman terhadap kanak-kanak. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI