LONDON – Penerbit Kamus Bahasa Inggeris Oxford mengumumkan ‘mode goblin’ sebagai perkataan pilihan tahun 2022, kali pertama di mana sesuatu terma dipilih menerusi undian orang ramai, lapor agensi berita United Press International.
“Mode goblin menggambarkan keadaan seseorang yang amat memanjakan diri, malas, selamba atau tamak, kebiasaannya dengan cara yang menolak norma atau jangkaan sosial,” kata Oxford.
Terma itu mencadangkan keadaan di mana seseorang itu mungkin menjadi seperti goblin manakala ayat yang sering digunakan adalah: “Dia berada dalam mode goblin sepanjang minggu ini.”
Ia merupakan terma slanga yang mana ekspresi yang sering digunakan adalah ‘dalam mode goblin’ atau ‘bertukar menjadi mode goblin’.
Terma mode goblin mula muncul di laman-laman sembang maya (chat) lebih sedekad lalu namun, hanya menjadi tular tahun ini selepas ia muncul dalam beberapa tajuk utama hantaran di media sosial.
Di laman perkongsian Reddit contohnya, golongan yang bekerja dari rumah mula menggunakan terma itu untuk meluahkan perasaan malas untuk kembali bekerja di pejabat selepas sekatan pandemik dilonggarkan.
“Ia memaparkan emosi seseorang yang membantah idea kembali kepada ‘kehidupan normal’ atau memberontak terhadap standard estetika yang semakin tidak dapat dicapai dan gaya hidup tidak mampan yang dipamerkan di media sosial,” jelas Oxford.
Terma mode goblin adalah satu daripada tiga perkataan yang diundi oleh ahli kamus dan kira-kira 320,000 orang memberi respons dengan 93 peratus memilihnya sebagai perkataan pilihan tahun ini.
Pada 2021, Oxford memilih ‘vax’ (vaksin) sebagai perkataan pilihan ketika kemuncak pandemik Covid-19. – Agensi