GOMBAK – Tindakan seorang lelaki warga Myanmar menikam seorang pekerja serta mengamuk di sebuah kedai perkakasan di Batu 7, Jalan Ipoh, Selayang di sini mengundang padah apabila dia akhirnya ditahan oleh orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis petang semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.20 petang memaklumkan tentang satu kejadian amuk melibatkan seorang lelaki di lokasi kejadian.
“Seorang lelaki warga Bangladesh berusia 25 tahun yang bekerja di premis tersebut mendakwa, suspek warga Myanmar berusia 20 tahun telah datang ke kedai itu lalu mengambil sebuah basikal kanak-kanak namun berjaya dihalang olehnya.
“Suspek kemudiannya beredar sebelum kembali semula tidak lama kemudian sambil membawa sebilah pisau lalu menikam bahu kiri pekerja berkenaan dan bertindak agresif dengan merosakkan barang-barang di dalam kedai tempat mangsa bekerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Arifai, suspek bagaimanapun berjaya ditahan oleh mangsa dengan bantuan beberapa orang rakan sekerja dalam satu pergelutan dan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis.
“Suspek mengalami beberapa kecederaan susulan pergelutan itu dan telah dibawa ke Hospital Selayang oleh ambulans sambil diiringi oleh polis untuk mendapatkan rawatan.
“Pihak polis turut merampas sebilah pisau berukuran lebih kurang 15 sentimeter dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen,” tegas beliau. – K! ONLINE