fbpx

Video lama ibarat ‘jarum’, boleh bunuh perpaduan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

WARTAWAN EKSEKUTIF, AZMI NORDIN

PEMBENTUKAN Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) disambut dengan lambakan video lama yang mengganggu-gugat keharmonian awam di media sosial.

Lebih mengecewakan, segelintir pengguna media sosial membuat perkongsian di laman sosial bagi membina persepsi buruk sehingga lahir kebencian yang ekstrim terhadap sesebuah kaum, bangsa dan agama.

Sebagai sebuah negara bertuah yang mempunyai kepelbagaian etnik, budaya, kepercayaan mahupun bahasa, adalah menyedihkan apabila terdapat pihak mengambil peluang menjadikan perpecahan kaum untuk keuntungan diri sendiri.

Baru-baru ini, polis mengesan penyebaran semula satu video lama di laman sosial mengenai sebuah perhimpunan yang dikatakan akan diadakan pada 8 Disem­ber kononnya untuk mencetuskan kegusaran awam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, rakaman berdurasi dua minit 20 saat itu memaparkan tindakan seorang lelaki memberi ucapan berbaur perkauman di sebuah premis tertutup.

“Semakan mendapati video berkenaan adalah video yang dirakam pada 2018 semasa isu berkaitan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD),” katanya.

Ditambah pula, tular sebuah klip lama mengenai Jalur Gemilang yang dinaikkan bersebelahan bendera Israel diiringi lagu Negaraku oleh satu kumpulan melancong Tasik Galilee kawasan jajahan Israel juga mula berlegar di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, semakan polis mendapati, ia adalah video lama yang ditularkan semula sehingga mengundang persepsi negatif dalam kalangan rakyat.

“Laporan diterima pada pukul 11.20 malam, 29 November lalu yang memaklumkan melihat rakaman video berdurasi 47 saat berkenaan menerusi kumpulan WhatsApp,” katanya.

Penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, semua itu dilakukan oleh mereka yang tidak berpuas hati dengan kerajaan baharu yang dibentuk.

Katanya, sesetengah kaum dan agama mula tidak selesa melihat perkongsian demi perkongsian yang ekstrem sehingga mahu mencederakan individu lain.

“Jika seseorang itu setiap hari melihat video hasutan yang sama, akan timbul satu sifat kebencian yang ekstrim sehingga mampu membuat kekacauan yang berskala besar.

“Hasutan dibuat selepas PRU15 seolah-olah tidak menghormati demokrasi yang dijalankan di dalam negara ini dengan memainkan sentimen perkauman dan agama,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Susulan itu, Shahul memaklumkan bahawa mereka yang melakukan kesalahan ini perlu dibendung lebih awal dan tindakan perlu diambil setiap satu individu yang memuat naik kandungan seperti itu bagi memelihara keamanan negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI