JOHOR BAHRU – “Terasa dunia macam nak kiamat.”
Itulah kata-kata bagi menggambarkan ketakutan yang dialami penduduk, Junaidah Jamil, 49, bersama ibu dan anaknya ketika rumah mereka di Kampung Datuk Sulaiman Menteri, di sini dilanda ribut pada minggu lalu.
Junaidah berkata, ketika kejadian, dia bersama ibu, Norliah Abu Bakar, 69, dan anak, Puteri Nur Ain Norzan, 19, sedang berbual di dalam bilik tidur.
Tidak semena-mena, katanya, mereka terdengar bunyi dentuman kuat dari ruang tamu sebelum mendapati bumbung sudah tiada.
“Saya nampak langit hitam dan deruan angin yang kuat menggegarkan rumah. Tidak lama kemudian hujan lebat. Kami segera keluar dari rumah,” katanya kepada pemberita di sini.
Mereka bertiga kini menetap di inap desa berhampiran buat sementara waktu kerana Norliah masih trauma.
Junaidah berkata, kejadian ribut itu menyebabkan banyak barangan elektrik serta perabot rosak dengan anggaran kerugian RM12,000.
Sementara itu, kejadian itu membawa berita duka buat seorang lagi anaknya, Puteri Nur Aishah, 21, yang bakal melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi.
Menurut Puteri Nur Aishah, sebahagian pakaian dan aksesori busana pengantin yang akan dipakai pada hari bahagianya rosak.
Puteri Nur Aishah tidak berhasrat untuk menangguhkan perkahwinan dan majlis itu akan tetap berlangsung pada 23 Disember ini kerana tempahan katering, khemah dan jemputan sudah dibuat.
“Bakal suami yang juga askar sukar untuk mendapat cuti, jadi lebih baik majlis hari bahagia kami diteruskan,” kata operator kilang itu. – KOSMO! ONLINE